KOTA KINABALU, 16 Julai - Sabah FC mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 terhadap Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Likas Kota Kinabalu, malam tadi.
Gol pertama Sabah FC hadir pada awal minit ke-8 apabila hantaran menyerang import Sabah FC, Ramon berjaya disempurnakan Darren Lok.
Ramon sekali lagi menjadi tumpuan apabila menjaringkan gol pada minit ke-43 membuatkan kedudukan jaringan menjadi 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, skuad badak sekali lagi menjaringkan gol menerusi rembatan kencang Darren Lok pada minit ke-65.
Tiga minit selepas itu, Sabah FC menjaringkan gol keempatnya melalui Stuart Wilkin membuatkan jaringan menjadikan 4-0 sehingga tamat perlawanan.
"Kita tahu pasukan Pahang sebelum ini menunjukkan satu prestasi yang cukup baik. Namun, hari ini kita bermain lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan sebelum ini.
Jadi, ini satu pencapaian dimana kita harus kekalkan prestasi ini secara konsisten. Ia bukan bermakna kita berada dalam kedudukan baik tetapi kita harus kekalkan konsistensi kita," kata Datuk Ong Kim Swee, Ketua Jurulatih Sabah FC.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berkata pasukannya akan mengkaji semula corak permainan yang lebih baik untuk aksi akan datang.
"Ini kesilapan kita sendiri dan kita harus pelajari memang kita tidak boleh buat apa. Hari ini memang hari mereka. Mereka berjaya menterjemah taktikal dengan baik. Kami puji kemahuan mereka yang tinggi. Namun, kita harus kaji semula cara kita bermain dan selebihnya," kata Fandi kepada pemberita.
(Foto MFL)
Sabah FC akan menentang Selangor FC pada perlawanan seterusnya di Stadium MBPJ pada 23 Julai depan.