fb fb fb fb fb

Laporan polis kes gangguan seksual babitkan jurulatih dodgeball telah dibuat - Hannah

(FOTO HIASAN)

GEORGE TOWN, 15 Julai - Laporan polis berhubung kes gangguan seksual membabitkan jurulatih sukan dodgeball telah dibuat untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata selain laporan polis, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tidak bermoral membabitkan jurulatih itu.

(Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh)

"Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat dan dalam masa sama, KPM juga masuk untuk menjalankankan siasatan, minggu depan saya akan berjumpa dengan pihak terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara dan Jelajah Mini Rakan Muda Peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama, di sini.

Hannah berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung kes gangguan seksual membabitkan sukan dodgeball yang mangsanya melibatkan murid sekolah rendah.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V. Radhakrishnan sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menerima aduan daripada Biro Kokurikulum Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan akan membuat pertemuan dengan Hannah bagi membincangkan pelaksanaan kod sukan selamat dengan lebih terperinci.

Media Baharu