GEORGE TOWN, 15 Julai - Aspek pembangunan fizikal anak-anak secara sihat perlu diberi tumpuan oleh ibu bapa disebalik penggunaan tinggi gajet dalam kehidupan seharian.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata walaupun ibu bapa tidak dapat mengelak daripada membenarkan anak-anak meluangkan masa bersama gajet, namun kepentingan pembangunan fizikal menerusi aktiviti bersukan perlu diutamakan.
"Kita tidak kata gajet itu buruk, dunia sekarang semuanya secara dalam talian jadi kita tidak boleh elak tapi kita kena seimbangkan masa untuk aktiviti fizikal, sebab kita hendak wujudkan banyak lagi platform untuk mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Jelajah Mini Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama, di sini.
Seramai 2000 orang hadir dalam majlis tersebut yang turut diserikan dengan aktiviti mesra belia seperti sukan dan rekreasi, persembahan pentas, pameran dan jualan usahawan belia.