SINGAPURA, 6 Oktober - Pelumba Mercedes, George Russell mempamerkan aksi cemerlang bermula dari petak utama untuk menjuarai Grand Prix (GP) Singapura.
Dia berjaya menewaskan pencabar utama dari Belanda, Max Verstappen dalam perlumbaan di Litar Marina Bay.
Ini kemenangan kedua Russell musim ini dan yang kelima sepanjang karier Formula 1.
Russell, 27, menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 5.43 saat di hadapan Verstappen dari pasukan Red Bull.
Ia sekali gus menggagalkan impian Verstappen untuk meraih tiga kemenangan berturut-turut selepas kejayaan di GP Itali dan Azerbaijan.
Bagaimanapun, Verstappen berjaya menahan asakan daripada dua pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat.
Keputusan ini memberi kelebihan kepada Norris yang berjaya mengurangkan jurang mata dalam carta perlumbaan musim ini, kini hanya ketinggalan 22 mata di belakang rakan sepasukan, Piastri, dengan enam perlumbaan masih berbaki.
Lebih manis, McLaren turut meraikan kejayaan apabila mengesahkan kejuaraan konstruktor buat kali kedua berturut-turut musim ini. - REUTERS