KUALA LUMPUR, 23 September - Jawatankuasa Road To Gold (RTG) meluluskan pembiayaan tambahan rawatan pemulihan untuk pemain badminton Pearly Tan dan Toh Ee Wei, termasuk rakan 'sparring' bagi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
Selain itu, semua perkhidmatan sokongan dan peralatan latihan untuk pemain profesional telah disediakan, malah RTG turut bekerjasama untuk mencari pangkalan latihan baharu buat mereka.
Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ketiga RTG tahun ini yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama barisan ahli termasuk Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Datuk Seri Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David.
Menerusi satu kenyataan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, RTG turut menilai laporan status atlet, perkhidmatan sokongan serta permohonan tambahan persatuan sukan.
"Sepanjang 2025, skuad badminton negara mencatat prestasi membanggakan dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik naik ke ranking nombor dua dunia, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan meraih perak Kejohanan Dunia, manakala Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia beregu campuran pertama Malaysia.
"Bagi sukan skuasy, Sivasangari Subramaniam kekal dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala Ng Eain Yow menghuni ranking ke-12.
"Dalam berbasikal, Nurul Izzah Izzati memecah rekod Asia di Kejohanan Trek Asia, sementara Shah Firdaus Sahrom serta atlet angkat berat Mohd Aniq Kasdan sedang menjalani pemulihan kecederaan dengan sokongan RTG," menurut kenyataan KBS.
Pasukan memanah negara turut menerima bantuan berterusan meskipun beberapa atlet berdepan kecederaan, dengan ranking dunia ke-12 dunia berjaya dikekalkan.
KBS menegaskan RTG akan terus menjadi platform utama melonjakkan prestasi atlet negara di pentas dunia.