RIYADH, 24 September- Al Ittihad menempah slot ke pusingan 16 Piala Raja selepas menewaskan Al Wehda 1-0 pada aksi yang berlangsung, Selasa.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang Saleh Al-Shehri menerusi sepakan penalti pada minit kesembilan.
Kelab berpangkalan di Jeddah itu mendominasi permainan dengan penguasaan bola 64 peratus serta mencatat lapan percubaan tepat berbanding tiga sahaja oleh lawan dari divisyen dua.
Al Ittihad terus memburu gol tambahan, namun ketangkasan penjaga gol Al Wehda, Abdullah Al-Oaisher, menggagalkan beberapa peluang terbaik mereka.
Bagaimanapun, jaringan awal sudah memadai untuk memastikan kemaraan Al Ittihad ke peringkat seterusnya.
Sementara itu, Al Nassr turut tidak berdepan masalah menundukkan kelab divisyen dua, Jeddah, dengan kemenangan selesa 4-0 pada aksi Piala Raja, sekali gus mara ke pusingan 16.
Tanpa kelibat bintang utama, Cristiano Ronaldo, yang direhatkan di bangku simpanan, pasukan berpangkalan di Riyadh itu tetap tampil dominan sepanjang perlawanan.
Gol pertama hadir seawal minit kelapan selepas percubaan Angelo terkena pertahanan lawan sebelum menerjah gawang.
Babak kedua menyaksikan Al Nassr menggandakan asakan dengan jaringan Wesley, Joao Felix dan Mohamed Simakan yang memastikan kemenangan bergaya 4-0. -REUTERS