fb fb fb fb fb

Marquez intai gelaran dunia ketujuh di Jepun

Foto AFP

MOTEGI, 24 September- Marc Marquez berpeluang menamatkan penantian enam tahun untuk muncul juara dunia MotoGP buat kali ketujuh apabila turun beraksi di Litar Twin Ring Motegi, hujung minggu ini.

Pelumba Ducati berusia 32 tahun itu hanya memerlukan tiga mata lagi berbanding adiknya, Alex Marquez, untuk mengesahkan kejuaraan dengan baki lima pusingan daripada 22 perlumbaan musim ini.

Marquez, yang kali terakhir bergelar juara dunia pada 2019, bangkit cemerlang selepas bergelut dengan kecederaan serius sejak patah tangan kanan pada 2020.

Musim ini beliau mempamerkan dominasi mutlak dengan 11 kemenangan Grand Prix daripada 16 perlumbaan serta mencatat 14 kemenangan sprint, sekali gus menjadikan 512 mata yang diraihnya rekod baharu semusim.

“Pendekatan kami di Motegi sama seperti perlumbaan lain. Kami mahu kekalkan prestasi dan menamatkan saingan seawal mungkin,” kata Marquez yang kini mengintai kemenangan ke-100 dalam karier MotoGP, Moto2 dan Moto3.

Dominasi Marquez turut dipengaruhi prestasi tidak konsisten rakan sepasukan Francesco Bagnaia serta kecederaan juara bertahan, Jorge Martin.

Alex Marquez pula kekal sebagai pencabar terdekat, hampir 100 mata di hadapan Bagnaia yang berada di tempat ketiga.

Jika berjaya, Marquez bukan sahaja menyamai rekod legenda Valentino Rossi dengan tujuh kejuaraan dunia, malah meraikan kebangkitan luar biasa selepas empat musim suram akibat kecederaan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM