fb fb fb fb fb

Roy King 'sapu' gelaran berganda

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Pemain beregu serba boleh negara, Yap Roy King, membuktikan keunggulannya apabila muncul satu-satunya individu meraih gelaran berganda menerusi acara beregu campuran dan beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023.

Pada aksi final di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, hari ini, pemain berusia 22 tahun itu, yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM), merangkul gelaran pertama ketika berpasangan bersama Valeree Siow dalam acara beregu campuran menewaskan Choong Hon Jian-Go Pei Kee, 21-19, 21-18.

Beliau kemudian turun beraksi dalam final beregu lelaki bergandingan dengan Wan Mohd Arif Sharuddin Wan Junaidi dan membenam cabaran Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, 21-17, 21-12.

“Saya memang berniat mahu menang (dua-dua acara), semua pun mahu jadi juara dan saya cuma berikan yang terbaik. Saya berikan yang maksimum untuk kedua-dua acara, kalau tidak ia tidak adil untuk pasangan saya,” katanya kepada pemberita selepas upacara penyampaian hadiah di sini.

Mengulas lanjut, Roy King menyerahkan kepada barisan kejurulatihan mengenai kedudukannya yang bermain dalam acara berbeza sambil menjelaskan beraksi dalam dua acara tidak membebankannya.

Berdasarkan ranking dunia, Roy King dan Wan Mohd Arif berada di posisi ke-85 selepas mula bergandingan pada Mac lepas susulan rombakan yang berlaku sementara gandingannya bersama Valeree di kedudukan ke-61.


Sementara itu, Wan Mohd Arif mahu terus kekal bersama gandingannya itu selepas mula rasa selesa.

“Ranking pun sudah 85 kalau nak pecah (pisah) semula memang sayang, nak kejar ranking bukan senang...saya pun kesiankan Roy sebab saya saat-saat akhir pilih dia. Saya berterima kasih kepadanya sebab dapat terima saya.

“Saya pun tiada masalah dan boleh ikut (cara permainan) dia, lagi satu kita ada kelebihan sebab seorang kanan dan seorang lagi kiri. Giliran kami pun tiada masalah sebab boleh ikut kelajuan masing-masing...cuma dari aspek bertahan masih belum konsisten dan perlu diperbaiki,” katanya.

Pencapaian Roy King hari ini menyaksikan beliau membawa pulang wang kemenangan keseluruhan bernilai RM12,500 (selepas bahagi dua dengan pasangan) selain menambah koleksi kejayaan selepas merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Nantes bersama Wan Mohd Arif di Perancis, bulan lepas.

Juara beregu lelaki menerima wang kemenangan bernilai RM15,000 sementara RM10,000 bagi beregu campuran. - BERNAMA

Media Baharu