fb fb fb fb fb

Peluang berharga, timba ilmu di Denmark - Justin Hoh

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh menyifatkan penyertaan dalam kem latihan di Denmark sebagai peluang berharga untuk menimba ilmu bersama antara pemain terbaik dunia.

Pemain berusia 21 tahun itu menyatakan, ini merupakan pengalaman pertamanya menjalani latihan di luar negara dalam suasana berbeza.

Beliau mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut untuk menambah baik aspek disiplin dan profesionalisme dalam sukan.

"Saya perlu belajar disiplin yang diterapkan mereka (pemain Denmark) dalam gelanggang atau luar gelanggang," katanya.

Justin bakal menyertai kem latihan lima hari bersama skuad kebangsaan Denmark di Copenhagen dari 18 hingga 22 Ogos ini, sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Kejohanan Dunia BWF 2025 di Paris bermula 25 Ogos.

Selain Justin, dua lagi wakil Malaysia ke Paris, Leong Jun Hao dan K. Letshanaa turut menyertai kem latihan yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu dalam usaha memperkemas persediaan barisan pemain perseorangan negara.

Kemunculan Justin ke final Terbuka Macau minggu lalu juga memberi lonjakan semangat buat dirinya selepas melalui musim yang agak suram.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu kini melonjak lapan anak tangga ke ranking ke-37 dunia.

Beliau berazam menamatkan tahun ini dalam kelompok 32 terbaik dunia.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello