fb fb fb fb fb

Bunga Raya 7s U20 tekad cipta kejayaan lebih gemilang di Bihar

Foto RTM

BIHAR, 8 Ogos– Pasukan ragbi tujuh sebelah lelaki bawah 20 tahun negara, Bunga Raya 7s, bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran negara di Kejohanan Asia Rugby Emirates U20 2025 yang akan membuka tirai di Bihar, India esok.

Pasukan bawah kendalian jurulatih, Syed Shazril Syed Mahadzir itu dijadual berdepan tiga aksi peringkat kumpulan menentang Kazakhstan, China dan Uzbekistan, dengan misi memperbaiki pencapaian sebagai naib juara tahun lalu.

Menurut Pengurus Pasukan, Dr. Muhammad Hazwan Khair, semua pemain berada dalam keadaan terbaik dari segi fizikal dan mental menjelang sepak mula kejohanan.

“Semua pemain dalam keadaan sihat dan tiada masalah kecederaan. Mereka turut menjalani sesi regangan pagi ini dan akan melengkapkan persiapan terakhir menerusi sesi ‘captain’s run’.

"Semangat mereka tinggi dan kami yakin dapat lakukan yang terbaik,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Kazakhstan, China dan Uzbekistan.

Hanya dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir kategori Cup, manakala dua lagi akan bersaing dalam separuh akhir Plate.

Sementara itu, pemain negara, Luqmanul Hakim Ramli menzahirkan keyakinan tinggi bahawa pasukannya mampu memperbaiki keputusan musim lalu.

"Saya harap pasukan akan memperbaiki kedudukan pada tahun lepas dan akan buat sehabis baik pada kejohanan kali ini," katanya.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan saingan di peringkat serantau, malah menjadi platform pembangunan penting buat barisan pelapis ragbi negara dalam menghadapi temasya lebih besar peringkat Asia dan dunia pada masa hadapan.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello