BAITULMAQDIS, 8 Ogos- Bekas pemain pasukan kebangsaan Palestin, Suleiman Al-Obeid, yang dikenali sebagai "Pele Palestin", terbunuh akibat tembakan Israel di Gaza.
Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), pemain berusia 41 tahun itu maut pada Rabu apabila tentera Israel menyasarkan orang awam yang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan wilayah itu.
"Al-Obeid merupakan bekas bintang kelab Khadamat Al-Shati di Gaza dan telah terlibat dalam 24 perlawanan antarabangsa untuk pasukan kebangsaan Palestin.
"Sepanjang kerjayanya, Al-Obeid menjaringkan lebih daripada 100 gol, menjadikannya salah satu bintang paling cemerlang dalam sejarah bola sepak Palestin," menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pemain tengah itu juga bermain untuk Kelab Pusat Belia Al-Amari di Tebing Barat.
"Semasa menetap di Tebing Barat pada 2010, Al-Obeid adalah antara enam pemain pasukan kebangsaan dari Gaza yang diusir semula di sempadan Jordan atas sebab keselamatan," kata kenyataan itu.
Dilahirkan di Kota Gaza, Al-Obeid telah berkahwin dan mempunyai lima orang anak.
Sejak tercetusnya insiden pada 7 Oktober 2023, seramai 662 orang daripada sektor sukan dan pengakap telah terbunuh, termasuk 321 dalam komuniti bola sepak. -AFP