fb fb fb fb fb

Liga Super: TFC sasar tiga mata di Stadium Bandaraya

Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali / BERNAMA

KUALA NERUS, 8 Ogos - Terengganu FC (TFC) turun dengan misi wajib menang pada perlawanan pertama Liga Super 2025/2026 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Ahad ini, kata Ketua Jurulatihnya Badrul Afzan Razali.

Badrul Afzan berkata kemenangan dalam perlawanan sulung amat penting bagi menaikkan motivasi dan memberi keyakinan kepada pemain untuk mencipta kejayaan pada perlawanan seterusnya.

"Walaupun kita menang 3-1 ke atas Penang FC pada perlawanan pramusim yang lepas, ia tidak menjamin kemenangan Ahad ini kerana ia situasi yang berbeza.

"Paling penting pemain perlu fokus dan ikut semua perancangan. Saya tidak mahu pemain leka dan melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan peluang untuk membawa pulang tiga mata," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Gong Badak, di sini petang semalam.

Selain itu, Badrul Afzan turut mengingatkan pemain supaya berwaspada dengan penyerang import baharu Penang FC yang pantas dan berkualiti.

"Kita tahu Penang FC musim ini dibarisi pemain berpengalaman seperti Tchetche Kipre dan Bruno (Suzuki). Jadi jangan ambil mudah kerana sedikit kesilapan boleh menyebabkan kita dihukum," katanya yang sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama untuk diturunkan Ahad ini.

Sementara itu penyerang import baharu TFC Raianderson Costa Morais berkata beliau bertekad untuk menjaringkan gol pertama untuk skuad Penyu pada perlawanan itu nanti.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cereca berkata kepulangannya ke Liga Malaysia (Liga-M) selepas lima tahun berkelana diharap dapat memberikan impak yang besar kepada pasukan.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk menang. Kami mesti bermula dengan tiga mata untuk mendapatkan keyakinan bagi perlawanan lain," katanya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE