KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia optimis skuad badminton negara mampu mempamerkan aksi bertenaga menjelang Kejohanan Dunia, walaupun berdepan cabaran sengit daripada pesaing antarabangsa.
Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik berkata, motivasi pasukan semakin meningkat apabila berada pada prestasi terbaik, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk mencatat keputusan positif di pentas dunia.
“Saya rasa dari friends ke apa memang sentiasa ada harapan walaupun result tak cemerlang sangat pun dia orang buat ada harapan juga tapi memang aa bila on form punya time akan ada harapan lebih besar so itu yang buat kita mungkin lebih motivation,” katanya.
Jelasnya, persaingan sengit bukan sahaja datang daripada beregu utama dunia, malah rakan sepasukan seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut mempunyai peluang sama untuk mencipta kejayaan.
Aaron menegaskan tempoh tiga minggu sebelum kejohanan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengembalikan kecergasan fizikal, memperkemaskan strategi permainan dan membina keserasian bersama gandingannya.
Kejohanan Dunia 2025 dijadual berlangsung hujung bulan ini, menghimpunkan barisan pemain terbaik dunia yang memburu kejuaraan dan mata ranking kelayakan Sukan Olimpik.