fb fb fb fb fb

Jurulatih Fortuna Duesseldorf abai kontroversi gagal tandatangani Shon Weissman

Jurulatih Fortuna Duesseldorf, Daniel Thioune / REUTERS

DUESSELDORF, 8 Ogos – Jurulatih Fortuna Duesseldorf, Daniel Thioune, pada Khamis berkata beliau cuba menutup telinga daripada kontroversi berhubung kegagalan kelab itu mendapatkan penyerang Israel, Shon Weissman, selepas bantahan penyokong terhadap hantaran media sosial pemain itu mengenai perang di Gaza.

Kelab divisyen dua Jerman itu dilaporkan hampir menandatangani pemain berusia 29 tahun dari kelab Sepanyol, Granada, namun Selasa lalu, hanya mengeluarkan kenyataan ringkas di media sosial bahawa perpindahan tersebut tidak akan diteruskan, tanpa menjelaskan sebabnya.

Penyokong Fortuna menentang perpindahan itu sejak beberapa hari sebelumnya, memetik hantaran media sosial Weissman pada 2023 yang menyentuh isu perang di Gaza, termasuk satu hantaran yang menyeru pengeboman ke atas Gaza, kenyataan yang turut mencetuskan kontroversi di Sepanyol ketika dia beraksi di sana.

“Saya hanya fokus pada aspek sukan minggu ini, dan saya selalu tekankan bahawa saya hanya bekerja dengan pemain yang kami ada. Selebihnya saya cuba abaikan, untuk diri sendiri dan juga pasukan, dalam beberapa hari dan jam kebelakangan ini,” kata Thioune pada sidang media.

Timbalan pengerusi Persatuan Jerman-Israel, Juergen Sterzenbach, berkata, Fortuna Duesseldorf bukan anti-Semit, namun menyifatkan keputusan untuk tidak menandatangani Weissman sebagai ‘tergesa-gesa’.

“Mereka sebenarnya membuat keputusan bagi pihak pemain dan tunduk pada saat akhir, disebabkan sentimen anti-Israel dan anti-Semit di Jerman,” katanya.

Weissman, yang telah memadam hantaran 2023 itu, berkata di media sosial pada Selasa bahawa beliau menerima kritikan tersebut, namun tidak merujuk secara khusus kepada perpindahan ke Fortuna atau kecaman penyokong kelab itu.

Dakwa Israel, mereka kini menguasai 75 peratus Gaza selepas hampir dua tahun perang yang bermula apabila kumpulan militan Hamas menyerang komuniti di selatan Israel pada Oktober 2023.

Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan angka kematian sejak konflik bermula kini melebihi 61,000 orang, kebanyakannya orang awam.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE