MONTREAL, 8 Ogos – Pemain muda tuan rumah berusia 18 tahun, Victoria Mboko, mencipta kejutan sensasi di Terbuka Kanada apabila menewaskan bintang Jepun, Naomi Osaka, 2-6, 6-4, 6-1 pada Khamis untuk merangkul gelaran WTA 1000 di Montreal.
Kejayaan itu menjadikan Mboko wanita Kanada ketiga memenangi kejohanan terbuka negara sendiri selepas Faye Urban (1969) dan Bianca Andreescu (2019). Ia juga merupakan gelaran WTA pertama buat Mboko dalam mana-mana kategori, sekali gus melonjakkan kedudukannya ke tangga ke-25 dunia minggu depan.
Perjalanan luar biasa Mboko di kejohanan ini turut diserikan dengan kemenangan mengejut ke atas pilihan utama, Coco Gauff, di pusingan 16 terbaik, selain menyingkirkan pilihan kesembilan dari Kazakhstan, Elena Rybakina, di separuh akhir selepas bangkit daripada ketinggalan satu set, sama seperti di perlawanan akhir.
Osaka menguasai set pertama dengan memenangi tiga game awal tanpa berdepan sebarang break point. Namun, set kedua menyaksikan aksi saling mematahkan servis dalam lima game pertama, dengan Mboko mendahului 3-2 sebelum memenangi servisnya dan mematahkan servis Osaka sekali lagi untuk mendahului 5-2, lalu menyamakan kedudukan set.
Set penentuan bermula dengan kedua-dua pemain saling mematahkan servis, namun Mboko kemudian memenangi lima game berturut-turut untuk menamatkan perlawanan.
Aksi perlawanan akhir itu mencatatkan 14 break servis daripada 25 game keseluruhan, dengan Mboko memanfaatkan peluang sebaiknya apabila berjaya mematahkan servis Osaka sebanyak 8 daripada 9 peluang, sambil menyelamatkan 7 daripada 13 break point.-REUTERS