KUALA LUMPUR, 9 Julai - Rata-rata peminat bola sepak tempatan di media sosial mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan hukuman lebih berat terhadap kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan isu menyalakan suar di stadium.
Desakan hukuman denda pemotongan mata dan bermain tanpa kehadiran penonton dibuat rata-rata peminat susulan tindakan segelintir penyokong Harimau Selatan yang menyalakan suar di dalam Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan, malam tadi.
Peminat di media sosial menyifatkan tindakan menyalakan suar itu sebagai tidak menghormati MFL selaku badan pentadbir Liga-M dan mencabar FAM sebagai badan induk bola sepak negara.
Tindakan menyalakan suar itu berlaku kira-kira 48 jam selepas FAM mengenakan denda RM120,000 terhadap JDT, Khamis lalu, atas tindakan penyokongnya menyalakan suar pada tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Sultan Ibrahim musim ini.
Tindakan menyalakan suar adalah melanggar obligasi penganjuran perlawanan dan bertentangan dengan Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.
Sebelum ini, penyokong JDT menyalakan suar selepas perlawanan dalam dua aksi Liga Super masing-masing ketika berdepan Sabah FC pada Mac lepas dan Kedah Darul Aman FC (April) serta dalam satu aksi Piala FA berdepan PDRM FC pada April.
JDT ketika ini selesa menerajui takhta Liga Super selepas cemerlang merakam 16 kemenangan berturut-turut untuk mengumpul 48 mata, meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC di tempat kedua dengan perbezaan 14 mata, selain turut layak ke final Piala FA musim ini. - BERNAMA