fb fb fb fb fb

'Ronaldo tidak akan dijual,' - Ten Hag

(Ronaldo dikatakan kecewa dengan prestasi kelabnya itu selepas gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan/ AFP)

BANGKOK, 12 Julai- Cristiano Ronaldo masih dalam perancangan pasukan Manchester United dan tidak akan dijual.

Itu tegas pengurus baharu United, Erik Ten Hag mengenai masa depan Ronaldo di Old Trafford musim depan.

Kenyataan itu sekali gus memadam spekulasi sebelum ini bahawa bintang Portugal itu mahu meninggalkan The Red Devils.

Ten Hag menjelaskan perkara itu di Bangkok ketika United menjalani persiapan menghadapi Liverpool bagi aksi persahabatan pra-musim malam ini.

Ronaldo tidak menyertai siri jelajah Asia tersebut dan ketiadaannya telah menghangatkan lagi khabar angin bahawa pemain berusia 37 tahun itu mahu meninggalkan United.

"Saya ada membaca mengenai khabar angin itu, tetapi bukan daripada mulut dia (Ronaldo). Tetapi apa yang boleh saya katakan, Ronaldo bukan untuk dijual,

"Dia masih ada dalam perancangan kami untuk melakar kejayaan bersama, saya tidak sabar untuk bekerja dengannya pada musim ini," katanya.

Ronaldo telah meledak 24 gol dalam semua kejohanan buat United dan dikatakan kecewa dengan prestasi kelabnya itu selepas gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

(Pengurus pasukan Manchester United, Erik Ten Hag/ AFP)

Ten Hag pula akan mengendalikan perlawanan pertamanya bersama United menentang Liverpool malam ini sebelum meneruskan jelajah pra-musim ke Melbourne, Australia.

Sementara itu, bintang Mesir, Mohammed Salah dan pemain baharu, Darwin Nunez menjadi antara pemain yang menarik perhatian peminat Liverpool ketika menjalani latihan di Bangkok, semalam.

Liverpool akan berdepan Manchester United malam ini dalam aksi pertama siri jelajah pra-musim di Asia.

Jelajah tersebut adalah sebahagian daripada persiapan mereka sebelum menghadapi kempen Liga Perdana Inggeris yang akan bermula bulan depan.

Sebelum ini pengurus The Reds, Jurgen Klopp mengakui pasukannya akan tetap memburu kemenangan ke atas United meskipun ia hanyalah aksi persahabatan.

Selepas Bangkok, Liverpool akan meneruskan jelajah mereka ke Singapura. -AFP

Media Baharu