fb fb fb fb fb

Ronaldo, Messi bertembung dalam perlawanan pertunjukan di Arab Saudi

RIYADH, 17 Januari-Pemenang anugerah Ballon d'Or 5 kali, Cristiano Ronaldo dilantik sebagai kapten skuad Pilihan Riyadh dalam satu perlawanan pertunjukkan dengan pasukan Lionel Messi, Paris Saint Germain.

Perlawanan itu bakal menjadi penampilan pertama bintang Portugal itu di Arab Saudi sejak menyertai kelab baharunya, Al Nassr.

Ronaldo akan mengetuai pasukan yang dibarisi pemain Liga Arab Saudi dari kelab Al Hilal dan Al Nassr.

Perlawanan menentang PSG yang diketuai Messi, akan menjadi lipatan baharu dalam sejarah persaingan kedua-dua bintang bola sepak itu.

Pertemuan itu berjaya menarik minat lebih dua juta penonton yang telah membeli tiket dan akan berlangsung di Riyadh, Khamis ini.

Ronaldo sebelum ini terlepas dua aksi domestik bersama Al Nassr selepas menjalani hukuman penggantungan oleh Persatuan Bolasepak England kerana menjatuhkan telefon bimbit seorang penonton, April lalu.

Pemain berusia 37 tahun itu menyertai Al Nassr dengan kontrak perjanjian sehingga 2025 dianggarkan bernilai lebih 200 juta euro.

Dia yang meninggalkan Manchester United awal Januari ini, dijangka membuat penampilan sulung dalam Liga Pro Arab Saudi pada pertemuan Al Nassr dengan Al Ettifaq, Ahad nanti.


(Pemain Al Nassr, Cristiano Ronaldo/ FOTO AFP)

Media Baharu