fb fb fb fb fb

Piala Belia, Piala Presiden sasaran utama FAP

(Mesyuarat Agung Tahunan FAP 2022 dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow)

GEORGE TOWN, 17 Januari- Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) menyasarkan Piala Belia dan Piala Presiden dalam menjulang semula nama negeri itu dalam arena bola sepak tempatan.

Presiden FAP, Mohd Azizuddin Mohd Shariff berkata, sejarah penubuhan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) sejak 102 tahun lalu sepatutnya bergerak seiring dengan perkembangan masa dan tidak hanya tinggal warisan.

Ke arah itu, FAP akan memastikan Piala Belia bawah 18 tahun dan Piala Presiden bawah 20 tahun sasaran utama persatuan itu.

"Lanjutan daripada penyusunan semula struktur bolasepak negara, FAP sudah tentu akan fokus kepada aspek pembangunan, kejurulatihan dan pengadilan.

"Apa yang FAP sasarkan adalah untuk membentuk pasukan belia bawah 18 tahun dan pasukan presiden bawah 20 tahun bagi membawa kembali lambang dan nama FAP ke pertandingan peringkat kebangsaan," katanya.

Mohd Azizuddin berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan FAP 2022. Majlis dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

FAP juga berhasrat melahirkan lebih ramai jurulatih dan pengadil dari Pulau Pinang dalam usaha memartabatkan lagi permainan bola sepak.

Dalam perkembangan berkaitan, FAP telah memohon kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menggunakan Padang Brown atau lebih dikenali sebagai ‘Padang Broom’ untuk tujuan latihan kepada pemain kerana padang tersebut mempunyai nostalgia tersendiri dalam melahirkan ramai pemain berbakat untuk skuad Harimau Kumbang.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu