fb fb fb fb fb

Ronaldo catat gol ke 100

London, 24 April - Menerusi Liga Perdana Inggeris, Arsenal meneruskan momentum positif apabila membenam Manchester United 3-1.

Kemenangan itu terus menghidupkan peluang mereka untuk memburu kedudukan empat teratas liga.

Selepas menumpaskan Chelsea 4-2 sebelum ini, The Gunners terus mempamerkan aksi konsisten apabila menjadikan United sebagai mangsa seterusnya.

Nuno Tavares, Bukayo Saka dan Granit Xhaka masing-masing meledak gol sekali gus terus menghidupkan peluang tuan rumah untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Arsenal mendapat gol pertama pada awal permainan menerusi jaringan Tavares seawal minit ke-3 sebelum Saka menggandakan kelebihan selepas dihadiahkan sepakan penalti.

(FOTO REUTERS)

Selang dua minit kemudian, Cristiano Ronaldo merapatkan kedudukan buat United selepas berjaya menyempurnakan hantaran lintang Nemanja Matic.

Ia merupakan gol ke 100 Ronaldo dalam saingan liga buat The Red Devils.

Pelawat berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua tetapi sepakan kapten, Bruno Fernandes terkena palang selepas diberikan penalti.

Arsenal melengkapkan kemenangan 3-1 pada minit ke-70 hasil sepakan kencang Xhaka, menyaksikan mereka mengutip 60 mata di tangga keempat, dua mata mengatasi Tottenham Hotspur. - REUTERS

Media Baharu