ANKARA, 22 September - Lagenda tenis Switzerland Roger Federer, juara Grand Slam 20 kali, mengesahkan hari ini bahawa beliau akan beraksi pada perlawanan terakhir dalam kariernya di Piala Laver 2022 di London.
Pemain berusia 41 tahun itu mengumumkan persaraannya daripada sukan tenis minggu lalu kerana mengalami kecederaan pada lutut. Beliau tidak bermain sejak Wimbledon 2021, lapor Agensi Anadolu.
Bercakap pada sidang media di London's O2 Arena, Federer berkata beliau akan bermain untuk satu perlawanan pada Jumaat malam.
Federer mengakui berasa "gugup" untuk bersaing di Piala Laver kerana sudah lama tidak menyertai pertandingan.
(Lagenda tenis Switzerland/FOTO BERNAMA)
"Jadi, saya cuba bersedia untuk perlawanan terakhir saya. Kita lihat bagaimana nanti. Saya gementar kerana sudah lama tidak bermain. Saya harap ia berjalan lancar."
Federer sebelum ini mengesahkan bahawa Piala Laver, yang akan bermula pada Jumaat, akan menjadi "acara ATP terakhirnya."
Memulakan kerjaya tenis profesionalnya pada 1998, Federer berjaya muncul sebagai antara pemain hebat sepanjang zaman sukan itu.
Ikon Switzerland itu juga memegang rekod untuk gelaran Wimbledon terbanyak, dengan merangkul lapan kejuaraan. - BERNAMA