GEORGE TOWN, 19 November – Prestasi cemerlang Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah terus mencuri perhatian pada perlumbaan sulung ‘Harbour Race’ sempena Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025 di Pulau Pinang.
Baginda yang mengemudi kapal Maduzi bangkit daripada kedudukan keempat dan kini berpotensi untuk menaiki podium dalam perlumbaan seterusnya.
Pengerusi RMSIR 2025, Irsyad Ismail berkata pencapaian tersebut amat memberangsangkan meskipun keadaan angin pada hari perlumbaan agak mencabar.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersama kru kapal layar Maduzi beraksi dalam perlumbaan Inshore Races sempena Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) ke-35 di perairan Pulau Pinang/BERNAMA
“Prestasi Tuanku Raja Muda Selangor sangat baik. Baginda bermula di tempat keempat dan kini dalam kedudukan untuk berada di podium, iaitu tempat ketiga. Namun, ini masih awal dalam Raja Muda Regatta. Kita masih berada di Pulau Pinang dan masih ada beberapa perlumbaan lagi yang akan menentukan kedudukan terakhir,” katanya kepada RTM ketika ditemui di Straits Quay, Tanjung Tokong, di sini.
Perlumbaan selama sembilan hari yang bermula pada 14 November lepas membabitkan 23 pasukan dan bakal berakhir di Pulau Pinang pada Khamis sebelum penamat rasmi di Langkawi.
RMSIR yang pertama kali dianjurkan pada 1990 merupakan regata kedua tertua di Asia dan dicetuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, ketika baginda masih bergelar Raja Muda Selangor.