KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Pembangunan belia dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) beri tumpuan khusus terhadap pemerkasaan belia dalam ekonomi baharu dan strategik, termasuk menurunkan kadar pengangguran dan memperluas peluang pekerjaan.
Jelas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, pelaksanaan agenda pembangunan belia bukan hanya digalas oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semata-mata, sebaliknya melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Tinggi bertanggungjawab terhadap belia di IPT, Kementerian Kesihatan dalam aspek kesihatan reproduktif belia dan remaja, Kementerian Sumber Manusia bagi peluang pekerjaan, Kementerian Pembangunan Usahawan (KUSKOP) untuk belia yang ingin berniaga, serta Kementerian Pendidikan untuk belia berusia 15 tahun ke atas yang sedang bersekolah,” jelas beliau ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenggara dan Lubok Antu dalam sesi penggulungan KBS di Dewan Rakyat.
Bagi menyelaras usaha antara kementerian, Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) ditubuhkan sejak 2010 dan kini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Pertama, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
JKPB berfungsi sebagai platform perundingan dan penyelarasan dasar, pelaksanaan serta tindakan strategik yang melibatkan 29 kementerian berkaitan.
Mengulas isu pengangguran, Hannah berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 30 tahun pada Jun 2025 ialah 6.2%, bersamaan 396,800 orang.
Menurut kajian Indeks Belia Malaysia 2022 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), antara faktor utama pengangguran dalam kalangan belia termasuk penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah dan jurang kemahiran dengan kehendak pasaran kerja.
"Tiada pengalaman semasa memohon pekerjaan dan keempat permintaan gaji yang tidak realistik. Ini adalah faktor-faktor yang telah ditemui dalam kajian tersebut. Dapatan ini selari dengan kajian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Khazanah pada tahun 2018 yang antara lain juga berkaitan permintaan gaji yang tidak realistik," tambahnya.
Sehubungan itu, pendekatan yang dibawa dalam RMK13 melihat pembangunan belia secara menyeluruh dan rentas sektor.
Antaranya, memperkukuh Ekosistem TVET termasuk TVET belia, menyasarkan penyertaan 4.5 juta belia dalam program Rakan Muda serta membangunkan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 merangkumi program literasi kewangan dan pengurusan kredit belia bagi menjamin daya ketahanan kewangan belia.
