fb fb fb fb fb

KBS pacu industri sukan negara, sumbang RM49.5 bilion kepada ekonomi

Hannah Yeoh/Foto Bernma

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memainkan peranan penting dan signifikan dalam pembangunan belia dan industri sukan negara.

Ia menerusi pelbagai inisiatif strategik yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), melibatkan 3 dimensi, 3 teras dan 9 tumpuan utama.

KBS turut terlibat secara langsung dalam empat tonggak utama RMK13, iaitu Tonggak A: Meningkatkan Kerencaman Ekonomi, Tonggak B: Meningkatkan Mobiliti Sosial, Tonggak C: Mempercepat Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan Tonggak D: Mempertingkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam Sekitar.

Jelas Menterinya, Hannah Yeoh, KBS komited melonjakkan pertumbuhan industri sukan strategik melalui tadbir urus berkualiti, kerjasama kerajaan-swasta, serta pemerkasaan keusahawanan, inovasi dan pembangunan mampan.

Sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor ini, KBS memperkenalkan Geran Padanan Sukan (GPS).

"KBS telah menawarkan GPS sebanyak RM101 juta kepada 1,055 penerima pada tahun 2023 sehingga 2025 dengan pecahan berikut iaitu RM40 juta pada tahun 2023 kepada 467 acara sukan; RM35.5 juta pada tahun 2024 kepada 307 acara sukan dan RM25.5 juta pada tahun ini kepada 281 acara sukan."

"Acara sukan berperingkat kebangsaan dan antarabangsa seperti ini adalah tonggak kepada industri sukan, dengan ekosistem pengurusan acara, logistik, kejurulatihan dan teknikal, insurans, media, serta peralatan dan perkhidmatan sukan," katanya.

Dalam pada itu, rekod Akaun Satelit Sukan 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan, industri sukan menjana RM49.5 bilion kepada ekonomi negara dengan nilai ditambah kasar berjumlah RM19.6 bilion.

"Usaha Kerajaan MADANI juga berjaya meningkatkan penganjuran acara sukan antarabangsa, daripada 134 acara pada tahun 2023 kepada 235 acara pada tahun 2024, menunjukkan pertumbuhan signifikan serta peningkatan minat pelabur dan penggiat sukan antarabangsa terhadap Malaysia."

Melihat kepada impak yang besar itu, Hannah berharap agar program GPS dapat diteruskan pada masa hadapan.

Inisiatif ini berjaya memperkukuh penglibatan sektor swasta, membuka peluang perniagaan baharu dan melonjakkan keusahawanan belia dalam pelbagai segmen industri sukan," katanya dalam sesi penggulungan RMK13 Kementerian Belia dan Sukan.

ASHRIQ FAHMY AHMAD