SHAH ALAM, 19 Ogos - Pemain nombor satu Persatuan Pickleball Profesional (PPA), Ben Johns bakal beraksi dalam Jelajah Asia PPA Piala Malaysia 2025 yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 September ini, sekali gus merupakan penampilan sulung beliau di luar Amerika Syarikat (AS).
Bintang pickleball AS itu berkata beliau teruja untuk bertanding dalam kejohanan berkenaan, merasai suasana tempatan dan berinteraksi dengan peminat di Malaysia.
"Saya sangat teruja untuk hadir ke acara Jelajah PPA di Malaysia pada September ini, saya tidak sabar untuk bertemu anda semua.
"Ini kali pertama saya akan ke Malaysia dan saya sangat teruja untuk berjumpa dengan komuniti (pickleball)," katanya menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis sidang media pengumuman kejohanan itu di Setia Alam dekat sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jelajah Asia PPA Malaysia Vincent Siow Wei Sern berkata Piala Malaysia 2025 merupakan kejohanan kedua Jelajah Asia PPA yang dianjurkan di negara ini, selepas kejohanan pertama yang berlangsung pada Julai 2025.
Beliau berkata selain Ben, kejohanan itu dijangka disertai beberapa pemain terkemuka dunia, namun penyertaan mereka masih dalam proses pengesahan.
“Lebih 10 pemain dunia akan hadir ke kejohanan ini. Bagi saya, ini merupakan satu pencapaian tertinggi dan mengejutkan kerana kejohanan ini berjaya menarik minat pemain bertaraf dunia,” katanya.
Untuk rekod, Jelajah Asia PPA Piala Malaysia 2025 bakal menawarkan hadiah wang tunai melebihi USD150,000 (kira-kira RM630,000), menjadikannya hadiah terbesar dalam sejarah sukan pickleball di Asia Tenggara.-BERNAMA