fb fb fb fb fb

Rhiannan Iffland rangkul gelaran ke-9 Terjun Tebing Siri Dunia

Atlet Australia, Rhiannan Iffland / REUTERS

MOSTAR, 6 September - Atlet Australia, Rhiannan Iffland sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila menjuarai Terjun Tebing Siri Dunia buat kali kesembilan berturut-turut dengan kemenangan bergaya di Mostar.

Iffland, yang mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam musim 2025, mengumpul 363.15 mata untuk menamatkan saingan di hadapan rakan senegara, Xantheia Pennisi (330.80 mata) yang menyertai kejohanan menerusi tiket wildcard, manakala Kaylea Arnett dari Amerika Syarikat di tempat ketiga dengan 323.95 mata.

Dalam kategori lelaki, Constantin Popovici dari Romania mengekalkan harapan kejuaraan selepas meraih kemenangan dengan 459.00 mata, menewaskan wakil Amerika Syarikat, James Lichtenstein (420.30 mata) dan pendahulu keseluruhan, Gary Hunt dari Perancis (412.10 mata).

Kejayaan itu membolehkan Popovici merapatkan jurang kepada hanya tujuh mata di belakang Hunt dalam kedudukan keseluruhan, sekali gus membuka peluang kejuaraan masih terbuka menjelang saingan terakhir musim ini.

Ia merupakan kemenangan ke-10 dalam karier Popovici, menambahkan lagi tekanan kepada Hunt yang digelar legenda dalam arena terjunan tinggi dunia.

Saingan penutup tirai Terjun Tebing Siri Dunia musim ini dijadual berlangsung di Boston, Massachusetts pada 19 hingga 20 September.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE