LONDON, 7 September - England meneruskan rekod kemenangan dalam Piala Dunia Ragbi Wanita apabila menewaskan Australia 47-7 pada aksi terakhir Kumpulan A, meskipun perlawanan itu lebih sengit berbanding dua kemenangan besar sebelumnya.
Tuan rumah yang mengumpul 161 mata menewaskan Amerika Syarikat dan Samoa pada dua perlawanan awal, akan berdepan Scotland di suku akhir minggu depan. Australia turut mara ke lapan terbaik walaupun tewas.
Australia hanya perlu mengelak kekalahan melebihi 75 mata bagi mengekalkan kedudukan kedua kumpulan. Jika tidak, kemenangan besar Amerika Syarikat 60-0 ke atas Samoa di York bakal menyingkirkan mereka.
Kini, skuad Wallaroos bakal berdepan cabaran getir menentang pasukan ranking kedua dunia, Kanada pada aksi suku akhir.
Terdahulu, Kanada menamatkan saingan Kumpulan B di tangga teratas selepas menundukkan Scotland 40-19 di Exeter, meskipun lawan memiliki penguasaan bola lebih banyak tetapi gagal memanfaatkan peluang akibat kesilapan sendiri.
Sementara itu, Fiji menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan apabila menewaskan Wales 28-25 dalam perlawanan mendebarkan di Sandy Park.-REUTERS