fb fb fb fb fb

Marc Soler menang peringkat 14 Vuelta a Espana, Vingegaard kekal pendahulu

Pelumba Sepanyol, Marc Soler / AFP

AVILES,  7 September - Pelumba Sepanyol, Marc Soler muncul juara peringkat ke-14 Vuelta a Espana selepas melakukan serangan solo di pendakian kategori satu menuju La Farrapona.

Soler dari pasukan UAE Team Emirates XRG meninggalkan pencabar terdekat, Johannes Staune-Mittet pada pendakian terakhir sejauh 16.9 kilometer dalam perlumbaan berbukit 139.5 kilometer dari Aviles.

Aksi bertenaga itu membolehkan Soler membuka jurang lebih seminit di hadapan peloton untuk meraih kemenangan bergaya di tanah air sendiri.

Sementara itu, pelumba Denmark, Jonas Vingegaard dari pasukan Visma-Lease a Bike melakukan pecutan lewat dan menamatkan saingan di tempat kedua, 39 saat di belakang Soler.

Joao Almeida dari Portugal yang juga wakil UAE Team Emirates XRG mengekori rapat Vingegaard di garisan penamat, sekali gus mengekalkan kedudukan kedua keseluruhan.

Kejayaan itu menyaksikan Vingegaard terus mempertahankan jersi merah selaku pendahulu keseluruhan menjelang saingan seterusnya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE