fb fb fb fb fb

Rekod tanpa kalah Selangor FC lebur ditangan Terengganu FC

KUALA NERUS, 23 April - Rekod tanpa kalah Selangor FC lebur pada aksi perlawanan kelimanya menentang Terengganu FC dengan jaringan dua gol berbalas kosong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Manakala Sang Penyu pula merupakan aksi perlawanan keempat liganya musim ini dan turut mengekalkan momentum kebangkitan, apabila memperolehi kemenangan kedua berturut mereka, selepas mengatasi Sarawak FC 2-1 Ahad lalu.

Lebih istimewa apabila perlawanan pertama mereka selaku tuan rumah disaksikan lebih 4,000 penyokong setia yang hadir malam tadi.

Gol pertama Terengganu FC diperolehi menerusi pemain sayapnya Mohamad Faisal Abdul Halim yang menerima umpanan cantik dari kapten Terengganu FC, Tchetche Kipre menuju ke dalam kawasan kotak penalti Selangor FC pada minit ke-20.

Pemain berjersi nombor tujuh ini terlebih dahulu bijak memperdayakan pertahanan lawan dengan larian pantasnya, sebelum melepaskan rembatan deras yang mengelirukan Penjaga gawang pelawat Mohd Khairul Azhan Khalid yang juga merupakan penjaga gol kebangsaan.

Pada minit ke-26 pasukan pelawat turut memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan satu sama, apabila rembatan deras Herlison Caion di bahagian sudut kanan gol Terengganu FC, namun begitu ditepis penjaga gawangnya Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Selain percubaan menerusi tandukan oleh Muhammad Mukhairi Ajmal dalam kotak penalti Selangor FC diperolehi yang tersasar selepas mendapat hantaran cantik dari pemain pertahanan, Quentin Cheng.

Pada awal babak separuh masa kedua, pasukan pelawat dilihat beberapa kali mendapat peluang untuk gol penyamaan namun Rahadiazli dilihat cemerlang mempertahankan gawangnya dari dibolosi.

Pada minit ke-59, Tcheche Kipre berjaya menghasilkan gol kedua buat pasukannya menerusi tendangan penalti yang diberikan pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria.

Pasukan pelawat yang cuba bangkit mengatur serangan juga beberapa kali terdedah dengan corak pantas serangan balas oleh barisan hadapan tuan rumah diketuai Kipre, dengan ditunjangi corak permainan kemas dipamerkan Manuel Ott yang dilihat turut berpeluang menambah bilangan jaringan.

Namun pengalaman penjaga gol Selangor FC Khairul Azhan berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya tersebut khususnya pada minit ke-75 dan 80.

Tuan rumah juga dilihat lebih mendominasi permainan terutamanya di penghujung babak perlawanan dan turut berpeluang menambah jaringan.

Apabila perubahan taktikal diambil oleh ketua jurulatihnya Nafuzi Zain dengan memasukkan pemain gantian seperti Muhammad Zuasyraf Zulkifli, Mohd Hakimi Abdullah dan Mohammad Rahmat Makasuf yang dilihat berjaya mengucar kacirkan barisan pertahanan Selangor FC.

Kedudukan dua kosong itu kekal hingga wisel penamat perlawanan dibunyikan Zulkarnain Zakaria walaupun dilanjutkan dengan lima minit masa tambahan diberikan.

Dengan kemenangan itu, TFC mengumpul enam mata hasil empat perlawanan untuk berada di kedudukan ketujuh manakala Selangor turun satu anak tangga di kedudukan kelapan liga.





Media Baharu