CHARLOTTE, 23 Jun – Ketua jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso mendedahkan bahawa pemain pertahanannya, Antonio Rudiger, menjadi mangsa perkauman selepas perlawanan menentang Pachuca dalam aksi Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi.
Selepas kemenangan 3-1 ke atas kelab Mexico itu, Rudiger dilihat berang dan berdepan dengan kapten Pachuca, Gustavo Cabral. Dia kemudian bercakap dengan pengadil, Ramon Abatti Abel dari Brazil.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Alonso berkata kelab menyokong penuh Rudiger dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat insiden berkenaan.
“Toni beritahu kami sesuatu. Kami menyokongnya dan akan tunggu perkembangan selanjutnya. Jika betul berlaku, FIFA telah aktifkan protokol siasatan. Ini perkara yang tidak boleh diterima.”
“Dalam bola sepak, tiada tempat untuk perkauman. Jika ia benar berlaku, tindakan mesti diambil", katanya.
Pihak FIFA setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Sementara itu, jurulatih Pachuca, Jaime Lozano ketika ditanya wartawan mengaku tidak tahu-menahu mengenai dakwaan tersebut.
“Saya baru tahu perkara ini. Kami tidak berbincang apa-apa di bilik persalinan. Saya belum bercakap dengan Cabral,” kata Lozano.
“Perkara seperti ini tidak boleh diterima. Saya akan siasat, tapi saya tak boleh pertahankan kapten saya tanpa mengetahui hal sebenar.
"Sepanjang saya kenal Cabral, saya tidak pernah dengar dia terlibat dengan isu sebegini", katanya.
Rudiger, pemain antarabangsa Jerman, merupakan antara tonggak utama Real Madrid dan dikenali sebagai antara individu yang lantang menentang diskriminasi dalam sukan.-REUTERS.