KOTA BHARU, 23 Jun – Kelantan WTS FC menyasarkan untuk muncul empat pasukan terbaik dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/26 yang akan bermula Julai ini.
Presidennya, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah, berkata pasukan berkenaan komited mencapai sasaran tersebut meskipun bakal berdepan cabaran hebat daripada kelab-kelab gergasi seperti JDT, Selangor, Kedah serta kelab jemputan dari Korea Selatan, Seoul Phoenix FC.
“Matlamat WTS dalam Liga A1 memang dari hari pertama lagi kita nak berada dalam kelompok empat terbaik.
"Memang sukar dengan kehadiran pasukan besar seperti JDT, Selangor, Kedah dan Seoul Phoenix FC, tapi kita jadikan ia cabaran buat WTS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penajaan PUC Sport bersama WTS FC dan Nara FC dari Thailand yang berlangsung di sini, pada Ahad.
Dalam majlis itu, WTS FC menerima sumbangan dana RM100,000 daripada syarikat pengeluar pakaian dan peralatan sukan tempatan, PUC Sport, sebagai sokongan kepada persiapan menghadapi musim baharu.
Menurut Wan Muhd Ridhuan, dana tersebut amat penting bagi membantu pasukan dari segi perbelanjaan, termasuk bayaran gaji pemain dan pengurusan, dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan disasarkan tidak melebihi RM1 juta.
Sebanyak 16 pasukan bakal bersaing dalam Liga A1 bagi musim 2025/2026 yang bakal bermula dari 25 Julai 2025 hingga Mei 2026.