PASADENA, 23 Jun – Kelab Al-Hilal dan Red Bull Salzburg terikat seri tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Kelab yang berlangsung pada Ahad, dengan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou, bertindak cemerlang menggagalkan percubaan Salzburg.
Salzburg bermula agresif apabila apabila penyerangnya, Karim Osinowo melepaskan tendangan voli melepasi benteng pertahanan Al-Hilal sembilan minit selepas perlawanan dimulakan.
Namun Bounou bertindak pantas untuk menepis bola keluar dari gawang.
Aksi cemerlangnya berterusan sejurus babak kedua bermula apabila menyelamatkan percubaan jarak dekat John Mellberg sebelum Kalidou Koulibaly pula menyekat rembatan susulan daripada Nene Dorgeles di atas garisan gol.
Meskipun, Salzburg banyak mengasak, Al-Hilal turut mencipta peluang mereka sendiri.
Namun, penjaga gol Salzburg, Christian Zawieschitzky, turut mempamerkan ketangkasan dengan beberapa aksi penyelamatan penting bagi memastikan keputusan kekal 0-0 hingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Salzburg kekal di tangga kedua kumpulan dengan empat mata, berkongsi dengan pendahulu kumpulan Real Madrid, namun dibezakan dengan jaringan gol.
Al-Hilal pula berada di tangga ketiga dengan dua mata menjelang aksi terakhir mereka menentang Pachuca, yang telah pun tersingkir selepas tewas 1-3 kepada Real Madrid.
Perlawanan terakhir kumpulan bakal menjadi penentu peluang Al-Hilal untuk mara ke peringkat kalah mati, dengan syarat mereka perlu mencatat kemenangan ke atas kelab dari Mexico itu.-REUTERS.