fb fb fb fb fb

Athletic Bilbao kecam tindakan padam mural Nico Williams

Foto REUTERS

BILBAO, 23 Jun – Kelab La Liga, Athletic Bilbao mengecam tindakan segelintir penyokong yang memadam imej pemain sayap, Nico Williams daripada mural kelab berkenaan.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 22 tahun itu, yang menyertai akademi Athletic sejak 2013, dipadam daripada mural bersama satu mesej yang berbunyi: "Pergi atau tinggal, kau sudah hilang rasa hormat."

Tindakan vandalisme itu berlaku ketika spekulasi perpindahan Williams ke Barcelona hangat diperkatakan.

Kelab itu menyifatkan tindakan itu tidak wajar, dan berkata para penyokong yang melakukan tidakan tersebut tidak layak dianggap sebagai 'keluarga' kelab berkenaan.

“Maruah sesebuah kelab ialah maruah orang-orang yang membinanya, dan diukur melalui keupayaan mereka untuk berpegang teguh kepada nilai sendiri, tanpa tunduk kepada provokasi atau menjatuhkan martabat, serta sentiasa mengangkat kepala dengan penuh harga diri,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Dan jika mereka merasakan mereka sebahagian daripada keluarga ini, mereka silap. Tidak menghormati ahli keluarga kami sendiri bermaksud tidak menghormati Athletic Club.”

Mural tersebut, hasil seni artis Carlos Lopez, asalnya memaparkan Nico Williams bersama abangnya, Inaki Williams yang juga pemain Athletic.

Kelab telah menghubungi Lopez untuk memulihkan semula potret adiknya itu ke dalam karya seni tersebut.

“Di sebalik tindakan kurang ajar secara anonim, sentiasa ada seseorang yang terlalu kecil untuk menunjukkan wajahnya,” tulis Inaki di X.

Mural itu dirosakkan selepas Pengarah Sukan Barcelona, Deco, membuat kenyataan bahawa kelab itu sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan Nico, yang membantu Sepanyol merangkul kejuaraan Eropah keempat mereka.

“Nico, seperti beberapa pemain lain, menunjukkan minat untuk menyertai kami. Jika syarat-syaratnya sesuai, kami akan cuba dapatkannya,” kata Deco kepada La Vanguardia.

“Biasanya kita berbincang dengan ejen dahulu, kemudian tengok butiran kontrak, dan akhir sekali nilai sama ada kelab pemain terbuka untuk berunding atau mahu klausa pelepasan penuh dibayar. Dalam kes Nico, semuanya jelas dia ada klausa pelepasan.”-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD