HALLE, 23 Jun – Bintang tenis dari Kazakhstan, Alexander Bublik meneruskan kebangkitan apabila menewaskan Daniil Medvedev buat kali pertama dalam kariernya untuk merangkul kejuaraan Terbuka Halle pada Ahad, dengan kemenangan 6-3, 7-6(4).
Bublik, 27, sebelum ini tewas dalam keenam-enam pertemuan menentang bekas pemain nombor satu dunia dari Rusia itu.
Dalam set pertama, Bublik berjaya mematahkan servis Medvedev pada permainan kelapan sebelum mengekalkan servisnya dengan mudah, termasuk satu rentetan kemenangan 12 mata berturut-turut.
Medvedev berpeluang memenangi set kedua apabila memiliki satu mata set ketika Bublik beraksi di kedudukan 4-5, namun pemain Kazakhstan itu berjaya menyelamatkan situasi dengan satu drop shot lembut yang cukup cantik dari belakang garisan.
Ketika tiebreak, Medvedev mendahului 4-1 tetapi Bublik bangkit dan memenangi enam daripada tujuh mata seterusnya untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.
“Saya melalui tempoh yang sangat sukar sejak Wimbledon tahun lalu sehingga musim panas ini,” kata Bublik yang berada di luar kelompok 75 terbaik dunia sebulan lalu tetapi dijangka melonjak ke ranking ke-30 pada Isnin.
“Saya hampir mahu bersara selepas Wimbledon kerana sudah tidak menikmati permainan. Tapi sekarang, semua ini berlaku. Suku akhir di Terbuka Perancis, juara di sini... Saya tiada kata-kata.
“Saya tak pernah tewaskan Daniil sebelum ini. Dia lawan yang sangat sukar, terutama dengan gaya permainan saya. Tapi hari ini, semuanya menjadi dari segi mental dan fizikal.
"Ini salah satu kemenangan paling berharga dalam karier saya", katanya.
Kekalahan berkenaan menyambung rentetan malang dialami Medvedev yang kini tewas dalam enam perlawanan akhir bertaraf Jelajah ATP berturut-turut.-REUTERS.