fb fb fb fb fb

Piala Dunia Kelab: Bermain 10 pemain, Real Madrid bangkit tewaskan Pachuca

Foto REUTERS

CHARLOTTE, 23 Jun – Real Madrid bangkit daripada kekurangan seorang pemain untuk menewaskan kelab Mexico, Pachuca 3-1 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Kelab.

Kemanangan itu sekali gus meletakkan gergasi sepanyol itu sebagai pendahulu kumpulan dan hampir pasti ke peringkat kalah mati.

Pada perlawanan berkenaan, Real bermula dengan langkah kiri apabila pemainnya, Raul Asencio dilayangkan kad merah pada minit ketujuh selepas menarik Salomon Rondon.

Peluang itu digunakan Pachuca untuk mengasak kubu Real Madrid dalam perlawanan yang disaksikan 70,248 penonton di Stadium Bank of America, gelanggang pasukan NFL Carolina Panthers.

Pachuca hampir membuka jaringan menerusi rembatan Kenedy namun diselamatkan Thibaut Courtois, yang kemudiannya turut menafikan percubaan susulan daripada Alan Bautista.

Namun Real berjaya memperlahankan tempo permainan dan menguasai bahagian tengah, sekali gus mengehadkan ruang dan peluang buat Pachuca.

Madrid akhirnya membuka jaringan pada minit ke-35 hasil gerakan menarik Gonzalo Garcia membuat kuisan bijak kepada Fran Garcia yang melorongkan bola kepada Jude Bellingham, yang tenang menyempurnakan sepakan ke penjuru gawang.

Dua minit sebelum rehat, Real menggandakan kelebihan apabila Trent Alexander-Arnold melorongkan bola dari kanan, disambut hantaran Gonzalo kepada Arda Guler yang melepaskan rembatan padu.

Babak kedua menyaksikan Pachuca mencipta deretan peluang, namaun Courtois sekali lagi menjadi watak penting menafikan cubaan John Kennedy, Rondon dan Bryan Gonzalez.

Javier Eduardo Lopez berpeluang merapatkan kedudukan tetapi gagal menyempurnakan peluang keemasan selepas kelapaan barisan pertanan Real Madrid.

Real memuktamadkan kemenangan pada minit ke-70 menerusi jaringan Federico Valverde selepas gerakan satu-dua bersama Brahim Diaz.

Pachuca akhirnya berjaya menjaringkan gol saguhati hasil rembatan Elias Montiel yang terkena pertahanan Real Madrid Aurelien Tchouameni dan menewaskan Courtois.

Sementara itu, ketua jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso memuji semangat juang pasukannya walaupun beraksi dengan 10 pemain sepanjang hampir keseluruhan perlawanan.

“Kami terpaksa bertahan hampir sepanjang permainan dan ia sangat mencabar.

"Tapi para pemain bertahan dengan sangat baik dan itu yang diperlukan. Saya bangga dengan persembahan mereka,” katanya.

Beliau turut memuji keupayaan skuadnya untuk menyesuaikan strategi dengan pantas.

“Kami mahu membina budaya memahami situasi, struktur dan konteks perlawanan. Kecerdasan permainan memberi kelebihan. Saya gembira mereka cepat menyesuaikan diri selepas rehat,” jelas Alonso.

Dalam pada itu, jurulatih Pachuca Jaime Lozano mengakui pasukannya gagal menggunakan kelebihan pemain.

“Kami bermula dengan baik, tetapi tidak memanfaatkan kelebihan itu. Real Madrid mempunyai pemain terbaik dunia, mereka tidak perlu bermain cemerlang pun untuk menang. Mereka luar biasa,” katanya.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian, Xabi Alonso di tangga teratas kumpulan dengan empat mata, manakala Pachuca tersingkir selepas dua kekalahan berturut-turut.

Sementara itu, kelab Arab Saudi Al Hilal yang seri menentang Real dalam aksi pembukaan, bakal menentang pasukan di tempat kedua, Salzburg, hari ini.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD