fb fb fb fb fb

Raphael Varane tinggalkan skuad Red Devils

Pengurus Manchester United mengesahkan pemain pertahanan, Raphael Varane bakal meninggalkan kelab berkenaan pada akhir musim/Foto Reuters

LONDON, 14 Mei - Pemain pertahanan Manchester United, Raphael Varane mengumumkan dia bakal meninggalkan kelab berkenaan pada penghujung musim apabila kontrak tiga tahunnya bersama pasukan itu tamat.

Bekas pertahanan antarabangsa Perancis berusia 31 tahun tiba di Manchester United dari Kelab Real Madrid pada 2021 dengan yuran perpindahan mencecah AS$34 juta.

Sepanjang penampilan bersama Manchester United, dia membuat 93 kali penampilan selain menjaringkan dua gol.

Dia juga merupakan salah sebahagian pemain yang memenangi trofi kejuaraan pertama kelab selepas enam tahun iaitu Piala Liga 2023.

Namun, musim ini Varane dihimpit dengan kecederaan dan tidak bermain sejak tewas kepada Chelsea 4-3 pada April lalu. Dia berharap untuk dapat kembali bermain sebelum kempen Liga Perdana Inggeris tamat musim ini.

"Kali pertama menjejakkan kaki di Old Trafford sebagai pemain Manchester United, ia sungguh mengujakan.

"Kepada para penyokong kelab, ia adalah suatu penghormatan dapat mewakili dan memakai jersi kebanggaan kelab", kata Varane di sosial medianya.

Sementara itu, pengurusan Manchester United dalam satu kenyataan mengesahkan pemergian pemain tersebut dan berkata Varane merupakan pemain berkelas dunia dan berpengalaman dalam pasukan.

"Dia (Varane) telah menunjukkan kualitinya sejak menyertai kelab", maklum kelab berkenaan.

Skuad 'The red Devils' musim ini berada dalam mimpi ngeri selepas menduduki tangga kelapan liga dengan 14 kekalahan sekali gus menyukarkan peluang untuk layak bersaing bagi kejohanan Eropah.

Anak didik Erik ten Hag masih mempunyai baki dua perlawanan menentang Newcastle dan Brighton sebelum berentap dengan Manchester City pada final Piala FA 25 Mei ini.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD