fb fb fb fb fb

Todak, SRG.OG bergabung wakili Malaysia ke WEC IESF 2025

Pengurus Pasukan MLBB Malaysia untuk IESF, Danial Aizat

SERDANG, 16 November - Aksi Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bagi Kejohanan E-Sukan Dunia (WEC) IESF 2025 bakal menyaksikan kerjasama strategik antara pasukan Todak dan SRG.OG dalam kategori lelaki yang akan mewakili Malaysia.

Pengurus Pasukan MLBB Malaysia untuk IESF, Danial Aizat, berkata gabungan itu diwujudkan bagi memperkukuh cabaran negara memandangkan kategori lelaki dianggap lebih kompetitif.

“TODAK meminta bantuan SRG kerana kita tahu kategori lelaki lebih mencabar. Jadi, untuk mempertahankan kejuaraan, kita bekerjasama dengan SRG. Bagi kategori wanita pula, mereka merupakan pasukan yang layak mewakili Malaysia ke IESF,” katanya pada sidang media pada Ahad.

Bagi kategori lelaki, skuad negara terdiri daripada Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish Rizwan (Stormie), Qayyum Ariffin Suhairi (Yums), Ealtond Rayner (Lolealz), Idreen Abdul Jamal (Momo) dan Muhammad Zaim Amir Izat (Zaimsempoi).

Sementara itu, kategori wanita menampilkan barisan pemain yang akan menggalas cabaran negara iaitu Qurratul Ain Nurfarisha Mohd Nizam (Shaa), Hanis Wahidah Mohamad Dashuki (Hanie), Afrina Balqis Ibdhi Har Ali (Rinaa), Nurul Effa Fauzana Mohd Fauzi (Fafau) dan Yuki.

Menurut Danial, sebahagian pemain dalam dua kategori ini juga akan mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2025.

“Mereka akan melaporkan diri bagi Kolaborasi Kebangsaan pada 25 November ini di Kem Latihan SRG. Semua pemain SRG yang terlibat serta pemain Kolaborasi Kebangsaan bagi IESF dan Sukan SEA akan hadir pada tarikh tersebut,” jelas Pengurus Pasukan MLBB Malaysia untuk Sukan SEA ,Simon Lim.

Kejohanan MLBB WEC IESF 2025 dijadual berlangsung dari 1 hingga 7 Disember di Kuala Lumpur.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE