fb fb fb fb fb

Portugal sahkan slot ke Piala Dunia 2026 selepas belasah Armenia 9-1

Barisan pemain Portugal meraikan kejayaan mereka layak ke ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Armenia 9-1 pada aksi terakhir Kumpulan F/ AFP

PORTO, 17 November – Portugal mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Armenia 9-1 pada aksi terakhir Kumpulan F, meskipun beraksi tanpa bintang utama, Cristiano Ronaldo yang digantung.

Dua pemain tengah, Bruno Fernandes (Manchester United) dan Joao Neves (Paris Saint-Germain), masing-masing meledak hatrik pada kemenangan besar di Porto, sekali gus memastikan skuad bimbingan Roberto Martinez muncul juara kumpulan.

Turut menjaringkan gol ialah Renato Veiga, Gonçalo Ramos dan Francisco Conceiçao.

Portugal yang sebelum ini terikat seri dengan Hungary pada Oktober dan tewas mengejut kepada Ireland pada Khamis, perlawanan yang menyaksikan Ronaldo dilayangkan kad merah akhirnya melengkapkan misi kelayakan pada percubaan ketiga.

Kejayaan itu menyaksikan Portugal mara ke Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut, walaupun masih belum pernah memenangi kejohanan tersebut.

“Kami sentiasa mahu menang dengan cara yang meyakinkan. Hari ini kami berkesan dan meraih kemenangan yang baik,” kata Fernandes.

Dalam perlawanan itu, Portugal bermula garang apabila Veiga menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-7. Armenia sempat menyamakan kedudukan menerusi Eduard Spertsyan, namun selepas itu Portugal mempamerkan dominasi mutlak.

Ramos memanfaatkan hantaran ke belakang yang tersilap sebelum Neves meledak dua gol, termasuk satu sepakan percuma yang menarik.

Fernandes menambah gol kelima menerusi penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Portugal kini menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas dan akan menempah tiket ke kejohanan yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat pada 2026. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN