MILAN, 14 Mei- Penyerang AC Milan, Olivier Giroud mengumumkan dia akan meninggalkan kelab berkenaan pada penghujung musim ini.
Pengumuman tersebut dikongsikan oleh AC Milan di platform sosial media X kelab berkenaan pada Isnin.
Menerusi pengumuman berkenaan, Giroud mengesahkan dia bakal meninggalkan kelab tersebut namun enggan mengulas lanjut destinasi terbaharunya pada musim depan.
Kontrak pemain berusia 37 tahun itu bersama AC Milan bakal tamat pada penghujung musim ini dan Giroud dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Bola Sepak Utama AS (MLS).
Pemain antarabangsa Perancis itu tiba di San Siro pada Julai 2021 dan memenangi kejuaraan Serie A pada musim pertamanya bersama kelab berkenaan.-REUTERS