NEW YORK, 14 Mei- Bekas raja heavyweight, Mike Tyson berkata pada Isnin bahawa keputusannya untuk kembali ke gelanggang pada usia 57 tahun adalah "sesuatu yang waras".
Pengumuman itu sekali gus menepis kritikan bahawa legenda itu terlalu tua untuk membuat penampilan semula.
Tyson berkata dalam sidang akhbar di New York mempromosikan pertarungannya menentang selebriti Youtube terkemuka, Jake Paul pada Julai depan, meski mengakui latihan yang dilaluinya agak membebankan.
"Saya melakukan yang terbaik tetapi badan saya sekarang tidak berapa sihat. Agak sakit, saya benar-benar sakit," kata Tyson, yang menentang Paul pada 20 Julai di Stadium AT&T di Arlington, Texas, yang merupakan tuan rumah kepada pasukan NFL, Dallas Cowboys.
Bagaimanapun, peninju ganas divisyen heavyweight pada era 80-an dan 90-an atau dikenali sebagai "lelaki paling jahat di planet" itu bertegas bahawa dia tidak ragu untuk mengikat sarung tangan sekali lagi, setelah dua dekad meninggalkan arena pertarungan profesional pada tahun 2005.
"Ia tidak perlu difikirkan. Dia seorang lelaki yang baru muncul di dalam arena dan saya suka menggegarkan dunia sukan hingga ke akarnya. Saya melakukannya sekarang. Ia hanya sesuatu yang saya mahu lakukan," tambah Tyson.
Tyson, yang berusia 58 tahun pada bulan Jun, menentang Paul yang berusia 27 tahun akan berentap dalam pertarungan profesional, sebanyak lapan pusingan, yang telah dibenarkan oleh pihak berkuasa tinju di Texas.
Beberapa ahli komuniti tinju termasuk bekas juara heavyweight, Deontay Wilder telah menyuarakan keraguan tentang pertarungan itu, menyatakan kebimbangan Tyson mungkin cedera.
Dalam pada itu, Paul berkata dia bersedia untuk menangani pengalaman dan kuasa Tyson.
"Ramai orang meragui saya. Saya melihat komen-komen itu berkata, 'jika Jake memenangi pertarungan ini, ia ditipu' kerana penampilannya yang luar biasa. Umur tidak penting."
"Dia seorang pembunuh. Dia seorang pahlawan. Dia telah melakukan ini sepanjang hidupnya jadi ia adalah sifat kedua baginya. Saya hanya melakukan ini selama empat tahun dan pada tahap yang sangat tinggi."
"Pada 20 Julai, saya akan menunjukkan kepada dunia bahawa saya boleh mengatasi Mike Tyson dan membuktikan semua orang salah," kata Paul.
Tyson menegaskan bahawa dia tidak mempunyai permusuhan terhadap lawannya yang jauh lebih muda.
"Saya sangat menyukai Jake. Pertarungan itu adalah profesional dan Paul perlu berdepan kesan pembabitannya," sindir Tyson.- AFP