fb fb fb fb fb

Raja Muda Selangor cemar duli sertai RMSIR edisi ke-35

FOTO TikTok Friend Of RMS

KUALA LUMPUR, 16 November - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli menyertai Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-35 yang membuka tirai semalam.

Baginda yang beraksi bersama kru kapal layar Maduzi menamatkan perlumbaan pembukaan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor, sebelum meneruskan saingan menuju Pulau Pinang pagi esok.

Menurut hantaran di laman TikTok Friend Of RMS, RMSIR yang berlangsung dari 14 hingga 22 November itu menghimpunkan pelayar tempatan dan antarabangsa dalam siri perlumbaan mencabar merentasi laluan tradisi Pelabuhan Klang–Pangkor–Pulau Pinang–Pulau Langkawi.

"Regatta diraja berusia 35 tahun itu merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan antara yang paling sukar di rantau Asia Tenggara.

"Ia merupakan cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda bergelar Raja Muda," menurut hantaran tersebut.

Sepanjang penganjuran, orang ramai dan komuniti pelayaran boleh mengikuti perkembangan terkini Baginda serta perjalanan regatta melalui media sosial rasmi: Instagram Friend of RMS dan TikTok Friend of RMS.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE