KUALA LUMPUR, 16 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkukuh standard keselamatan dan kawal selia e-sukan khususnya melibatkan pemain bawah umur, susulan kebimbangan terhadap insiden kandungan dalam talian.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata KBS terus berhubung dengan penerbit permainan, pencipta kandungan dan agensi berkaitan bagi memastikan langkah keselamatan lebih kukuh dapat dilaksanakan.
“Saya percaya sebahagian daripada anda telah melihat jawapan menteri, terutamanya di Parlimen, yang menyatakan bahawa kita akan terus menangani segala isu mengikut keperluan dan tidak bersikap konservatif sehingga mengambil langkah ke belakang"
"Pada asasnya, ini bermaksud kita perlu mematuhi peraturan yang ada, berbincang dengan semua pihak dan memastikan pembangunan e-sukan, khususnya melibatkan golongan bawah umur, dilaksanakan secara teratur dan terkawal.” katanya pada sidang media selepas pelancaran buletin impak sosial Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) pada Ahad.
Menurut beliau, usaha KBS juga berpandukan Garis Panduan Pembangunan E-Sukan Kebangsaan, termasuk aspek tingkah laku serta kesihatan mental dalam kalangan pemain.
Mengulas pelancaran buletin impak sosial MLBB, Adam Adli berkata dapatan itu mengesahkan hala tuju KBS dan E-Sports Integrated (ESI) dalam memprofesionalkan ekosistem e-sukan, selain menunjukkan sektor berkenaan semakin diiktiraf sebagai penyumbang kepada pembangunan bakat, komuniti dan ekonomi digital negara.
Pada majlis sama, Malaysia turut memperkenalkan skuad lelaki dan wanita Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bagi Kejohanan E-Sukan Dunia (WEC) IESF yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 1 hingga 7 Disember ini.