CHILE, 14 September - Sebastien Ogier muncul pendahulu menjelang hari terakhir Rali Chile selepas mengatasi rakan sepasukan Toyota, Elfyn Evans, dalam saingan sengit Kejohanan Rali Dunia (WRC), semalam.
Juara dunia lapan kali itu, yang membuat penampilan ke-200 dalam WRC, bakal memulakan baki empat peringkat terakhir hari ini dengan kelebihan 6.3 saat ke atas pelumba Wales tersebut selepas bangkit cemerlang pada sebelah petang.
Ogier mendominasi tiga peringkat akhir di kawasan hutan dengan keadaan cuaca berubah-ubah, selepas hujan pada sebelah pagi bertukar lebih kering.
“Ia bakal menjadi aksi sengit sehingga ke garisan penamat,” kata pelumba Perancis itu, yang sebelum ini menjuarai pusingan di Paraguay bulan lalu.
Pelumba Hyundai, Adrien Fourmaux yang mendahului saingan pada sebelah malam, kini berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 26.8 saat di belakang Ogier, diikuti rakan sepasukan dan juara bertahan, Thierry Neuville di tangga keempat.
Sami Pajari dari Toyota menghuni kedudukan kelima manakala pencabar kejuaraan, Kalle Rovanpera, berada di tempat keenam.
Kini Ogier hanya sembilan mata di belakang Evans dalam carta keseluruhan dengan tiga pusingan berbaki.-REUTERS