RIYADH, 14 September - Naib juara musim lalu Liga Pro Saudi, Al-Hilal sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Al-Qadsiah dalam aksi di laman sendiri, malam tadi.
Pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi pemain Ghana, Christopher Bonsu Baah.
Al-Hilal kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-49 hasil sentuhan Darwin Nunez, gol pertamanya dalam saingan kompetitif sejak menyertai kelab berpangkalan di Riyadh itu.
Namun, seminit kemudian Al-Qadsiah kembali di hadapan menerusi jaringan pemain antarabangsa Mexico, Julian Quinones, sebelum Ruben Neves menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-73 untuk mengikat kedudukan.
Keputusan itu menyaksikan Al-Qadsiah berada di tangga ketiga liga, mengatasi pasukan bimbingan Simone Inzaghi di tempat keempat menerusi perbezaan jaringan selepas dua perlawanan awal musim.-REUTERS