LONDON, 14 Julai- Raheem Sterling menjadi pemain pertama ditandatangani kelab Chelsea sejak konsortium diketuai Todd Boehly membeli kelab berkenaan, menamatkan tujuh tahun yang berjaya di Manchester City semalam.
Penyerang berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun dengan nilai dilaporkan £50 juta (RM263.61 juta).
"Bintang England, Raheem Sterling menyertai Chelsea dari Manchester City menerusi kontrak lima tahun," kata Chelsea dalam satu kenyataan.
Sterling sebelum itu memuat naik mesej selamat tinggal di media sosial sambil menyatakan dia meninggalkan City sebagai "lelaki" selepas tiba dari Liverpool ketika berusia 20 tahun.
Bagaimanapun selepas perpindahannya disahkan, Sterling yang kini bersama Chelsea pada pra musim di Amerika Syarikat menukar perhatiannya untuk mencapai sesuatu di bawah kendalian Thomas Tuchel.
"Jelas banyak yang sudah saya kecapi dalam karier saya setakat ini, tapi masih banyak untuk dicapai dan saya tidak sabar untuk melakukannya bersama jersi Chelsea, di bawah kendalian Thomas," kata Sterling.
"London ialah rumah saya dan di mana semuanya bermula di sini dan sesuatu yang menakjubkan kini saya ada peluang bermain di depan kawan dan keluarga pada setiap minggu di Stamford Bridge."
(Bintang England, Raheem Sterling sah memperkuat pasukan Chelsea untuk musim akan datang)
Sterling yang meraih 77 kaps bersama England menang empat gelaran Liga Perdana daripada sembilan trofi dimenanginya sejak menyertai City dari Liverpool pada 2015.
Bergelar pemain utama pada tahun-tahun awal kendalian Pep Guardiola di City, Sterling meledak 131 gol dalam 337 penampilan bersama juara England itu.
Bagaimanapun, posisinya dalam kesebelasan utama di City semakin terancam daripada pembelian Jack Grealish dengan rekod Liga Perdana £100 juta tahun lalu ditambah dengan kemunculan Phil Foden dari akademi kelab itu.
Sterling dilaporkan akan tiba di Stamford Bridge untuk musim baharu bersama pemain pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly.
The Telegraph melaporkan perjanjian £34 juta pound telah dipersetujui antara kelab untuk bek tengah berusia 31 tahun itu.
Chelsea akan terus mencari kombinasi pemain pertahanan selepas Antonio Rudiger dan Andreas Christensen keluar sebagai ejen bebas untuk menyertai Real Madrid dan Barcelona.- AFP