INCHEON, 4 Jun - Hasrat skuad ragbi 15 sebelah (15 S) negara melakar kemenangan pertama tidak tercapai apabila tewas 5-55 kepada Korea Selatan dalam aksi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024.
Beraksi di Stadium Namdong, Incheon semalam, skuad bimbingan Mohd Farid Syazwan Abu Bakar dilihat bergelut sejak awal permainan.
Jurulatih skuad negara, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar berkata ketumpulan di bahagian pertahanan selain kerap melakukan kesilapan memberikan kelebihan buat tuan rumah untuk mengutip mata demi mata.
"Kita agak bergelut. Kita gagal pulih dan bertenang. Dua kad kuning menyebabkan momentum persembahan pasukan merosot pada separuh masa pertama.
"Kita cuba kembali di separuh masa kedua, namun kita tetap buat kesilapan dan banyak perkara perlu diperbaiki", katanya yang ditemui selepas perlawanan di sini.
Selepas ini Skuad ragbi negara akan mengharungi dua lagi pertarungan menentang Hong Kong dan UAE.