fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia: Safwan tekad tambat hati Kim Pan Gon

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Safwan Mazlan/Foto FAMTV

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Tonggak pertahanan Safwan Mazlan mengakui bukan mudah menyaingi kehebatan pemain senior dalam usahanya meraih tempat kesebelasan utama Harimau Malaya.

Ia menjelang baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan ini.

Safwan yang dipanggil buat kali kedua menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan berkata beliau bagaimanapun akan tetap membuktikan kemampuannya bagi menambat hati ketua jurulatih Kim Pan Gon.

"Untuk panggilan kedua, jurulatih (Kim Pan Gon) beri peluang kepada saya.

"Alhamdulilah, saya boleh sesuaikan diri ketika lawan Perak FC. Mungkin saya kena kerja keras lagi untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama Harimau Malaya", katanya ketika ditemui media di sini.

Pemain Terengganu FC berusia 22 tahun itu pada masa sama berkata, intensiti latihan bersama pasukan senior lebih tinggi berbanding bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebelum ini.

Malaysia akan menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini sebelum bertemu Taiwan pada aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil 11 Jun nanti.

Sementara itu, bek kiri Harimau Malaya, Daniel Ting bersedia untuk mengambil alih peranan lebih menyerang bagi mengimbangi ketiadaan beberapa pemain sayap negara yang cedera.

Pemain Sabah FC berusia 31 tahun itu tidak kisah bermain sebagai bek sayap khidmatnya di posisi berkenaan diperlukan.
Daniel juga optimis tentang peluang Malaysia mengutip tiga mata apabila berdepan Kyrgyzstan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD