fb fb fb fb fb

Piala Negara-Negara: Malaysia tumpas 1-3 kepada Perancis

Selepas dua perlawanan, Malaysia kini di kedudukan ketiga dalam Kumpulan/Foto Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Skuad hoki lelaki negara berdepan tugas sukar untuk melangkah ke saingan separuh akhir pada Kejohanan Piala Negara-Negara apabila tumpas 1-3 kepada Perancis pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Nasional Gniezno, Poland, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Sarjit Singh memiliki satu mata untuk menghuni tempat ketiga dalam saingan empat pasukan kumpulan dengan Perancis, ranking kesembilan dunia, di tangga pertama dengan enam mata manakala Pakistan dan Kanada masing-masing di tempat kedua (empat mata) dan terakhir (tanpa sebarang mata).

Mengikut format kejohanan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir dengan skuad Speedy Tigers wajib mencipta kemenangan besar ke atas Kanada pada Rabu ini dan berharap Pakistan tewas kepada Perancis pada keesokan harinya.

Pada perlawanan kedua peringkat kumpulan hari ini, Perancis tidak menunggu lama apabila Timothee Clement menjaringkan pukulan sudut penalti seawal minit kelima sebelum tonggak jentera serangan negara, Faizal Saari menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pada minit ke-28.

Kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila Francois Goyet terus merobek gawang negara pada minit ke-43 menerusi jaringan padang selain Etienne Tyneves tidak melepaskan peluang memanfaatkan pukulan penalti pada minit ke-60 untuk mengesahkan kemenangan.

Sementara itu, Sarjit menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) malam ini mengakui mereka dalam ‘kerugian’ apabila gagal mendapat sekurang-kurangnya satu mata apabila dihukum dengan kesilapan kecil pemain.

“Banyak ruang untuk pemain meningkatkan lagi kemahiran mereka dan gagal menyudahkan lima percubaan pukulan sudut penalti.

“Tiada pilihan lain kecuali mengatasi Kanada pada aksi terakhir kumpulan dan pemain perlu menerapkan sikap ingin menang pada perlawanan nanti,”katanya.

Pada perlawanan pembukaan Jumaat lalu, Malaysia mensia-siakan kelebihan tiga gol untuk seri 4-4 dengan Pakistan.

Kejohanan itu menampilkan dua kumpulan iaitu lima dalam Kumpulan A (New Zealand, Poland, Austria, Afrika Selatan dan Korea Selatan) dan empat dalam Kumpulan B.

Pasukan tempat ketiga dan keempat daripada setiap kumpulan akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi untuk menentukan kedudukan lima hingga kelapan manakala perlawanan separuh akhir akan berlangsung Sabtu ini dan final hari hari berikutnya.

Juara kejohanan ini berpeluang beraksi pada Liga Profesional Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN