KUALA LUMPUR, 26 September- Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail meneruskan rentak cemerlang apabila menjuarai Kejohanan Piala Samho selepas menewaskan pilihan tuan rumah, Lim Seung-won, dalam aksi akhir di Bowltopia, Yongin, Korea Selatan, hari ini.
Kemenangan itu merupakan kali pertama skuad negara menjuarai dalam kejohanan berprestij tersebut yang dianggap antara kejohanan paling sukar di dunia dengan kehadiran barisan pemain elit Korea Selatan.
Pada perlawanan akhir, Rafiq, 27 tahun menampilkan aksi bertenaga untuk menundukkan Seung-won 256-224.
Terdahulu, beliau mara ke pentas akhir selepas menyingkirkan pemain Jepun, Kikuta Itsuki, 222-177 di separuh akhir.
Sementara itu, Seung-won melangkah ke pusingan akhir selepas mengatasi rakan senegara, Kang Min-hwan (33, Lotto Grip), 291-268, namun gagal mengekang Rafiq dalam penentuan kejuaraan.
Kejayaan tersebut menambah satu lagi koleksi antarabangsa buat Rafiq selepas menjulang Terbuka Singapura, Jun lalu.
Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM924,000 (304 juta won Korea) itu menyaksikan Rafiq membawa pulang hadiah utama bernilai RM182,820 (60 juta won).