fb fb fb fb fb

LSK tarik 63,519 penyertaan

Facebook JBSNegara

KAJANG, 26 September - Seramai 63,519 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Liga Sukan Komuniti (LSK) 2025 sejak berlangsung dari Mei hingga September ini.

Sekali gus menjadikan kejohanan itu antara program sukan komuniti terbesar di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin, LSK mempertandingkan empat acara iaitu ping pong, bola jaring, sepak takraw dan bola baling.

"Penganjuran Liga Sukan Komuniti ini telah melihat penyertaan kelompok masyarakat yang semakin meningkat. Tahun ini, kita perkenalkan konsep piala kejuaraan keseluruhan bagi setiap acara dan negeri mana yang muncul juara akan diumumkan pada hari penutup nanti.

"Kami juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menambah peruntukan hadiah agar setanding dengan kejohanan lain di peringkat komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pembukaan Kejohanan LSK Peringkat Kebangsaan 2025 di Sports Arena @ UNITEN Kampus Putrajaya, di sini,hari ini.

Mengulas lanjut Azura berkata, selain menjadi medan persaingan LSK berperanan mencungkil bakat baharu sukan negara, menyemai budaya ke arah Malaysia sebagai negara bersukan dan merakyatkan sukan melalui gaya hidup sihat,

Ini termasuk mengukuhkan perpaduan komuniti serta menjadi intervensi sosial bagi menjauhkan belia daripada gejala negatif.

Menurut Azura JBSN sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara bagi memastikan bakat yang dicungkil melalui LSK dapat digilap hingga ke peringkat antarabangsa.

Majlis Penutup LSK dijadualkan berlangsung pada Ahad ini di lokasi sama, dengan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Anak Nyalau yakin kontinjen Sarawak mampu memberi saingan sengit dalam kejohanan kali ini dengan kehadiran 36 atlet, termasuk peserta yang pertama kali menjejak kaki ke Semenanjung.

"Saya yakin Sarawak akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala, terutama melalui ping pong yang menampilkan gabungan pemain muda dan senior," katanya.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar turut optimis dengan prestasi pasukan Kuala Lumpur, selepas menjalani latihan intensif sejak Jun lalu.

"Untuk edisi kali ini, kami menyasarkan ping pong, bola jaring dan sepak takraw mampu membawa pulang tempat terbaik, khususnya sepak takraw yang tahun lalu meraih tempat ketiga," katanya.

Penganjuran LSK dilihat sejajar dengan teras Kesejahteraan dan Keyakinan dalam kerangka Malaysia MADANI serta aspirasi Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) yang menekankan pembangunan sukan secara menyeluruh, inklusif dan berasaskan masyarakat.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID